MENGHADAPI MAUT

MENGHADAPI MAUT
Gubahan Sutan Takdir Alisjahbana


Kulihat
Kurasakan
Peluru mendesing menembus kening
Pedang bersinau memenggal leher
Dan tergulinglah jasad di tanah
Darah mengalir merah panas
Sekejap pendek
Kaki melejang-lejang
Urat berdenyut meregang-regang
Sudah itu
Diam
Sepi
Mati

Muka menyeringai pucat pasi
Datang mendorong dari dalam
Mana harapanku, mana cita-citaku?
Sebanyak itu lagi ‘kan kukerjakan
Mana isteriku, mana anakku, karib handai tolan?
Lenyapkah sekaliannya selama-lamanya

Hampa!
Kelam!
Ngeri!
Tanganku mengapai-gapai
Orang karam mencari ranting

Wahai nasib
Sebanyak itu perjuangan
Sebanyak itu pengikat
Pemberat hati kepada dunia
Sedangkan
Dari semula telah kutimbang
Kupikir, kurenung matang-matang
Di tengah peperangan seluruh buana
Hebat dahsyat tiada beragak
Bom peluru mungkin menghancur remuk
Perampok penyamun mungkin menggolok
Disentri, kolera, lapar mungkin mencekik
Dan di antara mati pelbagai mati
Bukankah ini telah kupilih
Dengan hati jaga, mata terbuka

Wahai rahsia hidup!
Penuh pertentangan, penuh kesangsian
Berat sungguh menjadi manusia

(Tahanan Seksi Tanah Abang, Januari 1945
Diambil dari Majalah Pembangunan, Tahun I, No. 19-20, tanggal 10-25 September 1946)